KUALA LUMPUR 20 Januari 2017 - Pengarah Urusan PSSB, Datuk Dr.
 

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin (gambar) berkata, berdasarkan kekuatan EEV Perodua, pengeluar kereta itu agak positif untuk mencatat satu lagi pertumbuhan yang akan melepasi jualan 2017.

Beliau berkata, kumpulan itu berada pada landasan untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 202,000 unit pada 2017 walaupun persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau juga membayangkan satu lagi pertumbuhan jualan satu digit yang boleh dicapai pada 2018.

Prospek jualan Perodua untuk tahun itu dijangka dipimpin oleh model Myvi baharu yang dilancarkan pada November lalu, bersama hatchback lima pintu, Axia dan sedan, Bezza.

“Myvi yang baharu mempunyai banyak ciri-ciri yang hebat, malah mengambil petunjuk daripada populariti jenamanya sebelum ini, model ini akan terus berjaya.

“Tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan penyerahan model berkenaan kepada pelanggan dalam tempoh yang boleh diterima,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut Zahari, Perodua, melalui 181 pusat jualan di seluruh negara, telah menjual sebanyak 184,707 kenderaan pada 11 bulan pertama 2017, lonjakan 1.2 peratus daripada 182,485 pada tempoh yang sama 2016.

Model Myvi terdahulu yang dilancarkan pada 2005 telah menjadi kereta paling popular di Malaysia selama lebih satu dekad.

Pada 2006, model Myvi membantu Perodua untuk menguasai 30 peratus daripada pasaran kenderaan dan terus menjadi kereta terlaris di Malaysia.

Pencapaian itu berkekalan sebelum diatasi oleh Axia yang juga keluaran Perodua pada 2015.

Sehubungan itu, menurut Zahari, EEV dengan nilai dan harga berpatutan akan menjadi tema untuk 2018.

“Myvi baharu yang kini memberi tawaran terbaik berbanding dengan pesaing, dijangka menyokong jumlah jualan Perodua pada masa hadapan,” ujarnya.