Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim berkata, kadar yang ditawarkan adalah RM189 sebulan, lengkap dengan penye­diaan kandungan menarik untuk pe­langgan.

Jelasnya, perkhidmatan tersebut mampu ditawarkan menerusi fasa pertama Projek Gerbang Internet Antarabangsa Enhanced Malaysia (EM-IIG) yang dijangka siap pada November 2019.

“Ia melibatkan pemasangan kabel fiber optik berkapasiti 150 terabit dasar laut dan di darat, dengan fasa pertama meliputi jajaran sepanjang 33,000 kilometer (km) di bandar-bandar utama seluruh negara terma­suk Sabah dan Sarawak.

“Ia kemudiannya akan diper­luaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Keseluruhan projek ini melibatkan jajaran jalur lebar sepanjang 110,000 km dengan melibatkan kos RM5.45 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor untuk projek EM-IIG di Hotel De Palma Ampang di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kementerian Kerja Raya, Zureen Zubir.

Menurut Abdul Rashid, pihaknya telah menjalankan sesi taklimat di seluruh Semenanjung untuk mendaftarkan kontraktor bumiputera bagi pelaksanaan projek berkenaan yang dijadualkan bermula pada awal tahun depan.

“Sehingga kini, sebanyak 2,000 kontraktor bumiputera telah berdaftar dengan kami.

“Kami masih meneliti kontraktor yang layak, keseluruhan projek ini dijangka siap pada tahun 2022 dan kami memerlukan kira-kira 5,000 kontraktor untuk melaksanakannya,” katanya.