Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sriram Krishnamurthy berkata, meskipun kini berada pada kedudukan kedua di belakang Unilever, pihaknya merupakan peneraju pasaran dalam segmen tertentu termasuk produk dandanan diri halal, pewangi, talkum, pembersih muka dan produk pembersih wanita.

Jelasnya, antara jenama di bawah Wipro Unza yang ditawarkan di sini ialah Safi, Bio-essence, Carrie Junior, Dashing, Enchanteur dan Eversoft.

“Kami optimis dapat mencapai kedudukan pertama dalam tempoh setahun lagi, antaranya disokong oleh pengambilalihan Splash Corp, salah satu syarikat penjagaan diri terbesar di Filipina oleh syarikat induk selain aktiviti pengiklanan dan promosi yang lebih aktif.

“Malaysia merupakan pasaran kedua terbesar bagi kami selepas India dan kami menjangkakan mampu mencapai pertumbuhan jualan sebanyak dua digit tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi lawatan media di Pusat Kajian dan Inovasi Kulit Wipro di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Kajian dan Pembangunan Wipro Unza Malaysia, Toh Mong Sah.

Menurut Sriram, pi­haknya komited untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam produk penjagaan kulit muka halal di negara ini dan telah membelanjakan hampir RM30 juta untuk kajian dan pembangunan produk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Secara umumnya, kami memperkenalkan sekitar 100 unit simpanan stor (SKU) baharu di pasaran tempatan dalam tempoh setahun,” katanya.

Wipro Unza Malaysia merekodkan perolehan berjumlah RM527 juta tahun lalu dan menawarkan 530 SKU di pasaran tempatan.