Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Pembangunan Pengeksport, Sharimahton Mat Saleh berkata, sejak diwujudkan pada tahun 2005, sebanyak 251 syarikat telah menamatkan latihan di bawah program itu.

“Menurut data Matrade, daripada kesemua syarikat pengeksport yang berdaftar dengan kami, kurang daripada 20 peratus dimiliki atau dibangunkan oleh usahawan wanita.

“Justeru itu, kami komited untuk meningkatkan lagi angka itu kepada 30 peratus pada masa akan datang dengan membim­bing lebih banyak syarikat milik kaum wanita agar mereka lebih berdaya saing di pasaran eksport, setaraf dengan syarikat-syarikat global yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi memperkenalkan salah sebuah syarikat milik usahawan wanita yang dibimbing menerusi program WEDP, Hana Medic Sdn. Bhd. (Hana Medic) di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Hana Medic, Dr. Norayati Abd. Majid.

Bagi tahun 2017, sebanyak RM7.24 juta nilai jualan eksport secara keseluruhan telah dica­tatkan oleh 22 syarikat yang menyertai program WEDP.

Ketika ini, sejumlah 73 syarikat masih dibimbing di bawah program itu dan akan menamatkan latihan secara berperingkat.

Sementara itu, Sharimahton menjelaskan, usahawan wanita diseru untuk menembusi lebih banyak segmen pasaran yang bernilai tinggi seperti sektor perkhidmatan, perubatan atau minyak dan gas.

“Kebanyakan peserta WEDP pada masa ini terdiri daripada pemain sektor seperti makanan dan minuman, produk gaya hidup, teknologi komunikasi maklumat, elektrik dan elektro­nik serta perkhidmatan.

“Kami berharap lebih ba­nyak syarikat menembusi sektor bernilai tinggi, misalnya perubatan, seperti Hana Medic bagi meningkatkan lagi daya saing mereka di pasaran global, sete­rusnya mendapatkan pulangan yang lebih tinggi,” ujarnya.