Pelan baharu itu merupakan kesinambungan daripada PruBSN Warisan yang dilancarkan pada 2016, dengan menyertakan ciri-ciri baharu seperti liputan lebih tinggi bermula RM250,000, usia kelayakan masuk seawal umur setahun hingga 70 tahun dan lanjutan tempoh liputan sehingga 100 tahun.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2018 menyatakan hanya 41 peratus rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu pelan perlindungan de­ngan liputan purata seba­nyak RM56,000.

Jelasnya, BNM mempunyai aspirasi untuk meningkatkan kadar penembusan perlin­dungan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat Malaysia kepada 75 peratus pada 2020.

“Pelanggan kami turut berpeluang membantu misi penembusan tersebut de­ngan mengambil manfaat tam­bahan atau rider Ihsan. De­ngan sumbangan RM5 sebulan, sebuah keluarga miskin atau miskin tegar akan menerima perlindu­ngan asas sebanyak RM10,000 bagi tempoh setahun sekiranya perkara tak diduga menimpa ketua keluarga.

“Ini sebahagian daripada usaha PruBSN Microtakaful Jariyah, inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia yang bermula pada Mac tahun lalu.

“Kini 12,500 keluarga me­nerima perlindungan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran PruBSN WarisanPlus di sini semalam.