Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Yoshitaka Nakamura berkata, jangkaan itu bakal dipacu oleh strategi syarikat untuk memberi tumpuan kepada golongan profesional dan pengguna wanita.

“Kami melihat terdapat pe­ningkatan penggunaan kamera berteknologi tinggi dan berciri profesional dalam kalangan wanita yang menggunakan ka­mera seperti ini untuk merakam gambar berbanding sekadar kamera te­lefon pintar.

“Selain itu, de­ngan mengetengahkan produk-produk yang bersesuaian untuk jurugambar profesional, kami yakin dapat mengukuhkan kedudukan jenama ini di pasaran tempatan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kamera X-H1 Fujifilm di sini semalam.

Sementara itu, Nakamura berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual sehingga 500 unit kamera X-H1 di Malaysia pada tahun ini.

“Kamera tanpa cermin dan berprestasi terbaik dalam siri X ini direka khusus untuk jurugambar dan juruvideo profesional kerana ciri-cirinya yang bersesuaian dengan bidang kerjaya mereka.

“Dengan ciri-ciri utamanya untuk merakam objek bergerak pantas dalam apa jua keadaan yang mencabar, kami yakin ka­mera X-H1 ini mampu menarik kumpulan sasar tersebut kerana ia memenuhi jangkaan mereka untuk menghasilkan gambar atau video yang sempurna,” ujarnya.

Antara kelebihan yang diketengahkan X-H1 termasuk prestasi pengesan pergerakan yang menampilkan keupayaan fokus automatik yang dipertingkatkan.

Ia juga merupakan kamera dalam siri X yang mengete­ngahkan ETERNA iaitu satu ciri simulasi filem terbaharu untuk merakam video yang meningkatkan kualiti imej Fujifilm kepada gambar bergerak.

Model X-H1 Fujifilm ditawarkan pada harga RM7,988 untuk bahagian badan kamera dan RM9,188 untuk unit bersama kit pegangan bateri.