Ketua Pengarah Operasinya, Azmi Zainal berkata, peningkatan jumlah wakil jualan secara berperingkat-peringkat ini merupakan kejayaan syarikat melalui Program Pembangunan Usahawan Mikro Penua Home Dealer yang dibangunkannya.

Menurut beliau, pertumbuhan ini bakal mendorong kepada pengembangan pasarannya di seluruh negara malah dapat menambah perolehan jualan syarikat pada masa depan.

“Kami sentiasa membimbing wakil jualan mengenai aspek pemasaran produk dan semua transaksi hanya melibatkan wang tunai bagi membolehkan mereka berdisiplin dalam bidang perniagaan.

“Kejayaan kami melatih kumpulan usahawan ini terbukti selepas melihat perubahan gaya hidup mereka yang dahulunya bermula daripada peringkat asas tetapi kini telah memiliki peti sejuk untuk simpanan stok produk dan kenderaan, malah mereka bijak mengatur strategi pemasaran untuk menjual produk Farm Fresh kepada umum serta di sekolah-sekolah.

“Mereka berjaya menjana pendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 seorang sebulan mengikut daya usaha masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian di luar acara Forum Khazanah Megatrends 2018 yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental di sini baru-baru ini.

Azmi menjelaskan, sumbangan perolehan jualan daripada wakil jualannya kini ialah sekitar 18 peratus dan angka ini bakal me­ningkat seiring dengan pertambahan jumlah usahawan yang terlibat untuk mengedarkan produk minuman Farm Fresh kepada pelanggan.

Tambah beliau, rangkaian pemasaran lain ialah melalui pasar raya dan pasar raya besar yang mewakili kira-kira 60 peratus manakala baki 20 peratus lagi melalui penjualan di hotel, kafe dan restoran.

Menurut beliau, kira-kira 80 peratus daripada kumpulan wakil jualannya terdiri daripada wanita dan hampir 50 peratus daripada mereka merupakan peniaga separuh masa.