Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mike Xu berkata, pengenalan model terbaharunya dalam segmen telefon pintar sederhana, Vivo V9, akan membantu meningkatkan jualan telefon pintar Vivo.

"Di Malaysia, kami merupakan antara empat jenama utama (segmen telefon pintar) dan kami berusaha keras untuk sampai ke tahap itu.

"Pembangunan pesat dalam teknologi mudah alih sentiasa mengubah cara kita berkomunikasi dan ia adalah gaya hidup pengguna yang berkembang dengan telefon pintar menjadi perkara utama dalam rutin harian mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran Vivo V9 di sini semalam.

Vivo Malaysia juga mengumumkan penyanyi tempatan, Alvin Chong, sebagai ikon muziknya, yang akan menyertai senarai personaliti jenamanya  selain ikon swafoto Joyce Chu dan duta jenama, Janna Nick.

Vivo V9 yang dikuasakan dengan cip pemprosesan pemproses octa-core Qualcomm Snapdragon 626,  4GB RAM dan 64GB storan dalaman berharga RM1,399 akan berada dalam pasaran tempatan bermula 31 Mac. - Bernama