VendPays merupakan pengendali mesin jenama kopi premium vBarista.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raymond Woo berkata, matlamat VendPays adalah untuk menawarkan kopi premium 24 jam yang berkualiti dan segar, terutamanya kepada mereka yang bergerak sepanjang masa.

“Kami telah mencipta vBarista, setelah mengenal pasti peningkatan permintaan dalam kalangan penggemar kopi untuk pilihan yang lebih murah serta kemudahan mendapatkan kopi berkua­liti.

“Bersandarkan teknologi automasi, kami percaya dapat mengubah landskap kopi bertaraf premium untuk selamanya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini baru-baru ini.

Kempen pengumpulan dana itu akan dikendalikan oleh Ata Plus Sdn. Bhd. (Ata Plus), sebuah platform ECF berdaftar yang menerima kelulusan Suruhajaya Sekuriti.

Sementara itu, mengenai kopi vBarista, Woo berkata, harganya jualannya amat berpatutan iaitu hanya RM5, disebabkan teknologi automasi canggih hak milik VendPays.

“Semenjak VendPays ditubuhkan, kami telah mengambil masa setahun untuk menyempurnakan penyelidikan dalam penyelesaian kafe pintar yang menyeluruh.

“Ia merupakan satu sistem sofistikated yang membolehkan kami menyediakan kopi terbaik dan pada waktu sama, mengekalkan kos operasi dan pengurusan yang rendah,” ujarnya.

Bagi mendapatkan secawan kopi premium vBarista, pengguna hanya perlu mengimbas kod QR dengan menggunakan telefon pintar mereka.

Susulan itu, secawan kopi boleh tersedia dalam masa beberapa minit sahaja.

Pada masa ini, vBarista boleh didapati di 22 lokasi di seluruh negara, termasuk stesen minyak, bangunan pejabat serta hotel butik.

Woo memaklumkan, ia kini dalam proses untuk menambah 150 lokasi lagi mesin kopi tersebut dalam tahun pertama selepas tempoh penjanaan dana itu selesai.

Kempen ECF VendPays dibuka selama tiga bulan, mulai 28 Ogos lalu.