Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustafa berkata, buat masa ini syarikat baru memiliki sebuah jentera Vac All yang diimport dari Amerika Syarikat yang bernilai RM800,000 seunit.

Kenderaan itu digunakan khusus untuk pembersihan longkang terbuka dan tertutup yang tersumbat di kawasan komersial dan kediaman.

Menurutnya, kende­raan yang lengkap dengan teknologi moden untuk membuat kerja-kerja pembersihan longkang itu akan memudahkan lagi operasi harian pihak berkuasa tempatan menjaga kebersihan kediaman dan komersial.

“Kapasiti mesin itu akan mempercepatkan usaha pembersihan, menjimatkan masa dan tenaga kerja.

“Lebih menarik, jentera ini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh kerajaan selama ini khususnya untuk jangka masa panjang berhubung banjir lumpur ekoran isu longkang tersumbat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Bayu Tinggi di sini baru-baru ini.

Syarikat mula berope­rasi sebagai kontraktor pembersihan dan kutipan di sekitar di negeri Sela­ngor pada tahun 2008, kini ia menjadi antara syarikat utama dalam industri tersebut kerana memiliki depoh yang lengkap dengan memuatkan puluhan lori kutipan sampah serta bengkel pembaikan kenderaan.

Mohd. Shahrul menjelaskan, jentera Vac All itu akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini dan ia akan digunakan di kawasan Selangor pada peringkat awal.

“Kami bercadang untuk membeli seunit lagi untuk pelan pengemba­ngan syarikat pada tahun depan, melalui pertambahan mesin ini, kami yakin dapat meluaskan penyedia­an perkhidmatan di luar Lembah Klang seperti di Ne­geri Sembilan dan Melaka tidak lama lagi.

“Perniagaan pembersihan dan kutipan merupakan satu bidang berpotensi kerana sampah merupakan perkara lumrah bila dikaitkan dengan kehidupan masyarakat.

“Bagi usahawan yang terlibat dalam bisnes ini, sampah dilihat sebagai duit kerana usaha me­nguruskan sampah mampu menjana pendapatan lumayan,” jelasnya yang telah terlibat dalam bidang tersebut hampir 11 tahun.