Anak syarikat Kumpulan Telenor itu, yang menyediakan perkhidmatan pengiriman wang memiliki kira-kira 200,000 pelanggan di negara ini, keba­nyakannya di kawasan luar bandar dan kurang liputan kemudahan perbankan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prasanna Rao berkata, sejak memulakan perniagaan pada 2016, kira-kira 60 peratus daripada transaksi pelanggan menggunakan kemudahan digital manakala selebih­nya adalah secara fizikal.

“Kami melihat bahawa transaksi secara digital akan terus tumbuh kepada 90 peratus daripada keseluruhan transaksi kami dalam tempoh dua tahun dan perpindahan ini, turut membantu kami menga­wal kos secara lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis pengumuman kerjasama antara Valyou dengan perkhidmatan pembayaran global, Wes­tern Union di sini semalam.

Valyou merupakan rakan kongsi digital pertama Western Union di negara ini dan kerjasama tersebut membolehkan pengguna Valyou Mobile Wallet memanfaatkan kehadiran 200,800 ejen Western Union di sembilan buah negara iaitu Bangladesh, Indonesia, Filipina, India, Vietnam, Myanmar, Cambodia, China dan Nigeria untuk membuat kiriman wang.

Turut hadir Pengarah Rantau Filipina, Malaysia dan Brunei Western Union, Jeffrey Navarro.

Menurut Rao, kerjasama tersebut hanyalah pada peringkat permulaan dan pihaknya berhasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan Wes­tern Union supaya turut meliputi pasaran lain pada masa depan.

Jelasnya, kemudahan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh warga asing di negara ini untuk menghantar wang kepada ke­luarga mereka.

“Dari segi trend kiriman wang ke luar negara, warga Vietnam menghantar jumlah wang paling banyak dalam satu-satu transaksi, namun ia hanya dibuat secara berkala. Sedangkan warga Indonesia menghantar wang secara kerap meskipun dalam kuantiti lebih kecil.

“Valyou kini memiliki 1,500 ejen tunai di seluruh negara dan aplikasi Valyou Mobile Wallet boleh dimuat turun pada Google Play Store memandangkan 99 peratus daripada pelanggan kami adalah pengguna Android,” katanya.