KPOC merupakan sebuah syarikat operasi bersama dengan pegangan ekuiti 40 peratus oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. sementara 30 peratus masing-masing dimiliki Conoco Philips Sabah Gas Ltd. dan Shell Energy Asia Ltd.

Ketua Pegawai Eksekutif PRW, Ir. Mohamad Embong berkata, kontrak yang merangkumi tiga tahun dengan pilihan lanjutan setahun itu akan turut melibatkan kajian kejuruteraan khas, konseptual, asas dan sokongan terperinci.

“Sejak beberapa tahun lalu syarikat ini telah secara konsisten membuktikan keupayaan dalam menyampaikan standard tinggi dalam perkhidmatan kejuruteraan sokongan sektor berkaitan.

“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan KPOC terhadap pengalaman dan rekod pencapaian PRW,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pemeteraian kontrak berkenaan di sini semalam.

Mohamad menambah, majlis menandatangani perjanjian itu juga menandakan satu pencapaian signifikan bagi PRW dengan bermulanya peluasan perniagaannya ke Sabah, seiring dengan strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat itu.

PRW yang merupakan sebuah syarikat sekutu Ranhill Group dan WorleyParsons Ltd. itu menyediakan pelbagai perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek bagi pelanggan yang terlibat dalam pelbagai industri minyak dan gas, kimia, petrokimia, tenaga dan infrastruktur.