Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GreenTech Malaysia, Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin berkata, ia seterusnya akan menjadi pemacu kepada komitmen organisasi itu dalam mempromosikan penggunaan kenderaan elektrik, me­ngurangkan pembebasan karbon dioksida, sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi hijau.

“Dengan adanya Temos, ia akan mengendalikan pelbagai perkara berhubung inisiatif berkaitan kenderaan elektrik.

“Ia termasuk operasi stesen dan terminal pengecas kende­raan elektrik yang disepadukan bagi kemudahan pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

“Kerjasama antara GreenTech Malaysia dan anak syarikat milik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) iaitu TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES) ini dijangka mula beroperasi pada 1 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! dalam satu temu bual di pejabat GreenTech Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, pada Oktober 2017, GreenTech Malaysia memeterai kerjasama tiga pihak de­ngan TNBES dan Petronas Dagangan Bhd. bagi bersama-sama meningkatkan komitmen dalam mencapai sasaran pengurangan emisi Malaysia dan dalam masa sama menjadi pemangkin kepada inisiatif ekonomi hijau.

Di bawah kerjasama tersebut, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama rapat dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memasang stesen pengecas kenderaan elektrik, panel solar fotovoltan serta pelbagai inisiatif lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai perkembangan bagi skim pembiayaan yang disediakan GreenTech Malaysia, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS), Mohd. Azman berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan pembiayaan bernilai RM1 bilion sehingga akhir tahun ini di bawah GTFS 2.0.

“Bagi GTFS 2.0 yang dilaksanakan selama lima tahun bermula 2018, kami menyediakan pembiayaan keseluruhan bernilai RM5 bilion untuk membantu syarikat-syarikat berasaskan teknologi hijau mendapatkan dana bagi mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.

Bermula dari tahun 2010 hingga 2017, sebanyak RM3.5 bilion pembiayaan telah dikeluarkan di bawah GTFS yang memberi manfaat kepada 319 projek yang secara majoritinya terdiri daripada syarikat-syarikat berkaitan tenaga.