Grab, yang menerima lesen e-wang daripada Bank Negara Malaysia pada Disember tahun lepas, bakal melancarkan dompet mudah alih dalam dalam masa beberapa minggu lagi.

Kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, dengan perkongsian strategik dan sokongan daripada Maybank, pengguna Grab bukan sahaja dapat menggunakan GrabPay, malah dapat dimanfaatkan oleh peniaga utama Maybank.

“Pelanggan Maybank akan mempunyai pilihan untuk membayar menerusi Maybank QRPay di peniaga GrabPay.

“Selain itu, pengguna juga boleh menambah nilai tunai secara terus ke dompet mudah alih mereka menerusi Maybank2u, portal perbankan internet Maybank,” kata kenyataan tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kerjasama dengan Grab merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan tersebut untuk menyediakan lebih banyak kemudahan digital kepada pelanggan.

“Dengan perkongsian ini, pelanggan kami akan dapat menikmati pengalaman tanpa had semasa berurus niaga menerusi GrabPay.

“Selain itu, mereka juga akan menikmati pelbagai manfaat eksklusif selain dapat berjimat.

“Ini sejajar dengan objektif strategik kami untuk menjadi bank digital pilihan di rantau ini,” ujarnya dalam kenyataan yang sama.

Menurut Pengarah Urusan GrabPay Singapura, Malaysia dan Filipina, Ooi Huey Tyng, pemain industri secara keseluruhan perlu bekerjasama untuk menjadikan ekonomi tanpa tunai sebagai satu realiti di Malaysia.