Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkata, melalui MoU yang dimeterai itu, pihaknya akan menjenamakan semula produk-produk usahawan tempatan di bawah jenama HSM sebagai strategi pemasaran dan promosi.

“Pelbagai produk usahawan termasuklah makanan, pakaian, perkhidmatan spa dan kesihatan secara tidak langsung akan dapat dipertingkatkan imej barangannya di pasaran tempatan.

“Selain itu, setiap premis HSM juga akan dilengkapi sudut khas sebagai galeri bagi memasarkan produk-produk berkenaan yang akan dimulakan dalam masa terdekat selain membawanya ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! di HSM Kepala Batas di sini semalam.

MoU berkenaan ditandatangani antara Abu Hasan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSM, Mohd. Jailani Ab. Salam sambil disaksikan Pengerusi HSM, Badrul Hassan Mohamed Kassim.

Sementara itu, Badrul Hassan menjelaskan, pihaknya melihat penglibatan DPUKM bakal memberi sumbangan besar kepada proses penjenamaan semula terhadap rantaian nilai pelancongan (tourism value chain) rangkaian hotel berkenaan yang sedang dilaksanakan pihaknya.

“Kami mahu mempromosikan produk pelancongan luar bandar apabila HSM bakal menjadi induk kepada inap desa persendirian.

“Inap desa tersebut akan dibantu dari segi pengurusan atau untuk dijenamakan di bawah HSM jika pengusahanya bersetuju. Ia dalam usaha menarik pelancong,” katanya.

Selain itu, MoU tersebut turut memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 ahli DPUKM bagi mendapat keistimewaan penginapan dan platform bagi mengadakan program keusahawanan di bawah 21 rangkaian HSM seluruh negara.