Ia akan dilaksanakan menerusi platform pelaburan serta bursa sekuriti swasta 1exchange (1X) yang disediakan CapBridge.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Komersial Kumpulan, CIMB Group, Victor Lee Meng Teck berkata, melalui MoU tersebut, CIMB Bank dan CapBridge bekerjasama untuk menawarkan akses modal dan mudah tunai swasta melalui ekosistem modal swasta CapBridge yang holistik kepada pelanggan bank di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja.

Platform Pelaburan CapBridge merupakan platform penjanaan modal swasta bagi peringkat pertumbuhan dan syarikat pratawaran awam awal.

1X pula adalah platform dagangan yang memudahkan padanan pembeli-penjual bagi sekuriti swasta senaraian bursa dengan menggunakan blockchain untuk mendaftar dan menyemak pegangan saham pelabur yang berdagang di platform berkenaan.

Menurut beliau, perkongsian luas ini memberikan saranan nilai unik kepada pelanggan syarikat bersaiz sederhana serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) CIMB yang merancang mengumpul modal dan mahu sebahagian saham mereka didagangkan.

Selain itu, ia juga akan dapat mengekalkan status persendirian dan memiliki sepenuhnya kawalan ke atas perniagaan mereka.

“Sebagai bank utama bagi syarikat yang ingin mengumpul dana menerusi platform CapBridge, CIMB berkedudukan lebih baik untuk membantu pelanggan PKS dan syarikat bersaiz sederhana mengakses modal yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Selaras dengan Forward23, pelan pertumbuhan jangka sederhana CIMB yang akan datang, kerjasama dengan CapBridge ini akan memperkukuh lagi saranan PKS.

“Kami akan membantu mereka berkembang menerusi penyelesaian dipacu teknologi serta menyeluruh dan melalui usaha mentransformasikan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluar­kan di sini semalam.

Sementara itu, Pengasas dan CEO CapBrigde, Johnson Chen menjelaskan, berasaskan ekosistem CapBridge, syarikat persendirian mempunyai penyelesaian modal swasta yang bersepadu sepenuhnya.

Syarikat persendirian turut mendapat akses kepada modal pertumbuhan melalui pengumpulan dana utama, serta sebahagian mudah tunai menerusi dagangan sekunder sekuriti swasta di 1X selepas itu. – Bernama