Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, proses pentadbiran harta pusaka perlu dilaksanakan segera sebaik sahaja berlaku kematian terutamanya melibatkan tanggungjawab seperti hutang atau tinggalan wasiat sebelum diagihkan kepada waris.

Menurut beliau, dalam konteks tersebut orang ramai perlu bijak memilih pentadbir pusaka kerana ia adalah satu urusan yang rumit dan sekiranya tidak ditadbir dengan baik, sudah pasti akan memberikan tekanan serta tidak mustahil mencetuskan perbalahan di antara waris.

“Meskipun kesedaran mengenai pengurusan harta pusaka dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan namun masih ada yang membuat tidak endah serta tidak mempedulikannya sedangkan terdapat banyak kebaikan yang boleh diperoleh daripada pengetahuan tersebut.

“MAAB bukan sahaja bersedia untuk memberikan penerangan malah, boleh memainkan peranan bagi membantu orang ramai mendapatkan per­khidmatan pengurusan pusaka yang profesional dan efisen,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Ketika ini, MAAB bukan sahaja bersedia memberi penerangan serta menguruskan pentadbiran pusaka tetapi termasuklah amanah, wasiat, hibah dan pemberian khidmat nasihat untuk rundingan tanah.

Bagi mendapatkan per­­khidmatan tersebut, MAAB menyediakan kira-kira 1,500 saluran kepada pelanggan sama ada melalui agen korporat, koperasi dan institusi perbankan seperti Pos Malaysia, Coop Bank Pertama, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, Agro Bank, Affin Bank, MBSB Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. serta PMB Investment Bhd.

Tambah Ahmad Saruji, penyelesaian pengurusan harta pusaka bukan sahaja memerlukan kepakaran yang terlatih manakala tempoh masa yang perlu pula bergantung kepada jumlah harta pusaka yang ditinggalkan.

“Buat masa sekarang, kami sudah menerima 300 kes melibatkan permohonan pusaka Muslim serta bukan Muslim dan daripada jumlah tersebut ada yang baru diterima, dalam proses serta sudah diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan pentadbir pusaka MAAB, Datin Zaleha Md. Yusoff berkata, perkhid­matan pentadbiran harta pusaka MAAB sangat membantu meringankan urusannya memandangkan dirinya masih bekerjaya.

“Segala proses berkaitan harta pusaka diuruskan oleh MAAB sepenuhnya sehinggalah proses pembahagian dilaksanakan malah, pegawai yang ditugaskan juga sentiasa memberi makluman me­ngenai status kes tersebut,” ujarnya.