Untung sebelum cukai pula melonjak kepada RM733 juta manakala hasil meningkat kepada RM760 juta.

Naib Pengerusi Bous­tead Plantations, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (gambar kecil) berkata, kenaikan untung ini sebahagian besarnya dipacu oleh perolehan sebanyak RM555 juta daripada penjualan tanah di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Keuntungan lebih tinggi daripada operasi juga menyumbang kepada keputusan positif ini, berasaskan hasil tanaman yang lebih baik dan harga minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Lodin menjelaskan, harga jualan purata CPO bagi tahun 2017 ialah RM2,810 setan metrik (MT), naik sembilan peratus berbanding RM2,584 MT pada tahun sebelumnya.

Harga purata isirung sawit (PK) naik kepada RM2,505MT.

Pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat tujuh peratus kepada 973,513 MT dan ini merupakan sebahagian besarnya disebabkan hasil yang bertambah selepas El Nino.

“Dalam tempoh yang mendatang, harga CPO dijangka lebih rendah disebabkan peningkatan pengeluaran minyak sawit, yang dijangka melebihi penggunaan minyak sawit.

“Pertambahan kawasan tanaman kacang soya di Amerika Syarikat dan persaingan yang meningkat dari Indonesia juga dijangka memberi tekanan kepada pasaran CPO,” jelasnya.

Tambah beliau, meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran tersebut, Boustead Plantations tetap mempunyai prospek yang cerah.

“Secara khususnya, cadangan pembelian 11,600 hektar tanah ladang yang merupakan sebahagian daripada strategi perkembangan kami dijangka selesai menjelang suku kedua 2018.

“Kami yakin langkah ini akan membolehkan kami mengukuhkan potensi pendapatan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Ladang di Semenanjung Malaysia menjadi penyumbang utama kepada keuntungan Kumpulan, mencatatkan kenaikan untung 41 peratus kepada RM108 juta, berbanding RM77juta pada tahun sebe­lumnya.

Jelas beliau, peningkatan ini dipacu oleh kenaikan harga CPO. Keluaran FFB meningkat 11 peratus kepada 428,546 MT, berbekalkan hasil pengeluaran lebih baik dari ladang utara dan pokok kelapa sawit matang muda dari ladang di Pantai Timur.