Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, meskipun pihaknya optimis tetapi masih berwaspada dengan sasaran tersebut, ia akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti ke negara ini.

“Pada tahun ini, kami akan memberi fokus untuk menarik pelaburan langsung domestik (DDI) dan asing (FDI).

“Menerusi tiga sektor iaitu perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama, kami yakin dengan jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar pada kadar 5.2 peratus untuk tahun 2018 dan 2019, ia akan memberi manfaat kepada aktiviti domestik serta meningkatkan keyakinan perniagaan untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tahunan sempena majlis pengumuman prestasi pelaburan Malaysia bagi tahun 2017 di sini semalam.

Pada tahun lalu Malaysia menca­tatkan pelaburan diluluskan bernilai RM197.1 bilion, menyusut sebanyak 7.4 peratus berbanding RM212.9 bilion yang direkodkan pada tahun 2016.

Jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama itu terdiri daripada 5,466 projek yang akan menjana 139,520 peluang pekerjaan tambahan untuk negara.

Prestasi yang mendatar itu di­sebabkan oleh penurunan sebanyak 17.2 peratus bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan iaitu RM146.2 bilion pada 2016 kepada RM121.1 bilion pada 2017.

Pada tahun lalu, DDI merangkumi 72.2 peratus iaitu RM142.4 bilion, manakala FDI menyumbang seba­nyak RM54.7 bilion atau 27.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.