Pengarah Urusan UK Ice Blendz Sales & Marketing, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, bisnes ais kisar tidak hanya menawarkan margin keuntungan yang baik, ia juga kurang risiko berbanding perniagaan makanan lain, mempunyai modal permulaan yang rendah dan sesuai de­ngan iklim negara ini.

“Berbanding perniagaan makanan dan minuman lain, risiko kerugian pengusaha kurang ke­rana ais kisar disediakan atas permintaan pelanggan.

“Kos kerugian sekiranya berlaku perkara tidak diingini mungkin hanya ketulan ais, yang mana harga pek ais besar yang mampu menghasilkan kira-kira 100 cawan ais kisar hanya RM4.50.

“Selain itu, margin keuntungan kira-kira sekali ganda memberikan fleksibiliti kepada pengusaha untuk menjual ais kisar pada harga lebih rendah, lebih-lebih lagi sekiranya pelanggan utama mereka terdiri daripada murid sekolah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ahmad Muzakkir yang sebelum ini bertugas sebagai kakita­ngan bank memulakan perniagaan menjual ais kisar di pasar malam Ulu Klang pada 2004, sebelum membuka perniagaan itu kepada rakan niaga setahun kemudian.

Selepas 14 tahun, seramai 1,300 orang pengusaha telah berdaftar sebagai rakan niaga UK Ice Blendz dan kira-kira 600 orang daripadanya masih aktif menjalankan perniagaan itu.

“Desakan ekonomi dan pertukaran kerajaan tahun lalu me­nyaksikan ramai pekerja yang tidak disambung perkhidmatan dan saya melihat perniagaan ini mungkin sesuai buat mereka, selain golongan yang masih tercari-cari peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Jadi pada penghujung tahun lalu, saya memperkenalkan pakej baharu untuk menjadi rakan niaga UK Ice Blendz iaitu pada RM999 dengan sasaran pendaftaran sebanyak 700 orang rakan niaga baharu tahun ini,” katanya. Menurut Ahmad Muzakkir, pakej tersebut memberikan kesemua peralatan diperlukan bagi memulakan perniagaan UK Ice Blendz seperti set pengisar, jag, bunting, peralatan menyukat serta bahan mentah seperti jus dan krim yang cukup untuk menghasilkan 100 cawan saiz kecil dan 100 cawan saiz sederhana UK Ice Blendz.

Terdapat 12 jenis ais kisar boleh ditawarkan kepada pelanggan antaranya coklat, cappucino, mocha dan buah-buahan seperti mangga, oren, strawberi serta kiwi.

Harga jualan yang dicadangkan ialah RM2 untuk cawan bersaiz kecil manakala RM3.50 untuk cawan bersaiz sederhana.

“Pengusaha boleh memilih untuk menjualnya pada harga lebih rendah, misalnya harga RM1 untuk saiz kecil masih mampu memberikan keuntungan, namun ia perlu dijual tanpa sebarang penambahan seperti krim atau hiasan coklat,” katanya.

UK Ice Blendz turut bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk menyediakan pinjaman mudah kepada usahawan berminat, namun hanya untuk pakej berharga RM5,499 yang turut menyediakan peralatan tambahan seperti payung, gerai boleh lipat dan papan tanda.

Orang ramai yang berminat boleh melayari laman Facebook UK Ice Blendz atau berbincang dengan Ahmad Muzakkir sendiri di talian 019-2183 293.