Pengarah Urusan UFL, Datuk V. Radha Krishnan berkata, langkah membawa masuk jenama tersebut adalah bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penggemar aktiviti lasak dan rekreasi di negara ini untuk memiliki barangan berjenama khususnya khemah yang lebih berkualiti tinggi.

Katanya, sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman selama 32 tahun memasarkan barangan aktiviti lasak, UFL sememangnya sangat mementingkan kualiti produk sebelum menawarkannya kepada pengguna.

“High Peak merupakan jenama barangan aktiviti rekreasi dan lasak dari Jerman yang sangat berkualiti.

“Ia dibina menggunakan teknologi terkini yang canggih bagi memastikan pengguna berasa selesa walaupun ketika melakukan aktiviti lasak.

“Kita yakin produk High Peak khususnya khemah akan menjadi pilihan pengguna di negara ini khususnya penggemar aktiviti rekreasi dan sukan lasak disebabkan oleh kualiti dan ketahanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenalkan khemah jenama tersebut kepada media dan pengedar barangan rekreasi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Malek Noor, Pengarah Urusan High Peak International, Thomas Folkmar dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Kebangsaan, Persatuan Pengakap Malaysia, Datuk Zakran Abdul Manan.

Menurut Radha, walaupun High Peak mengeluarkan hampir 100 jenis khemah untuk pelbagai kegunaan selain beberapa barangan rekreasi lain seperti beg tidur, tikar khemah, tilam udara dan beg galas, namun sebagai permulaan, UFL akan memasarkan enam jenis khemah dan tiga jenis beg tidur untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu.

“Disebabkan High Peak merupakan jenama dari Jerman, sebahagian besar khemah yang dihasilkan adalah untuk pasaran Eropah termasuk bagi kegunaan dalam cuaca sejuk dan pergunungan beraltitut tinggi.

“Sebab itulah sebagai permulaan, kita membawa masuk enam jenis khemah terlebih dahulu yang dirasakan sangat sesuai untuk kegunaan di negara ini yang beriklim khatulistiwa.

“Jika maklum balas daripada pengguna sangat baik, kita akan membawa lebih banyak jenis khemah terutama yang bersaiz lebih besar,” katanya.

Jelas Radha lagi, kesemua khemah tersebut yang memiliki kapasiti dua, empat dan enam orang akan mula dipasarkan bermula Mei ini pada harga antara RM149 hingga RM699, manakala beg tidur pula akan dipasarkan antara RM119 hingga 149 mengikut jenis.

Dalam pada itu, Thomas memberitahu, sebagai sebuah syarikat yang mementingkan kualiti dan ketahanan produk, High Peak telah mengeluarkan pelaburan yang tinggi untuk membina makmal penyelidikan bagi pelbagai tujuan, daripada proses mereka bentuk sehinggalah kepada pemeriksaan kualiti produk.

“Semua khemah kami mempunyai ciri-ciri kalis air dan mampu menampung sehingga 4,000 liter air pada satu-satu masa selain direka cipta dengan sistem pengudaraan yang sangat baik bagi mengelak suhu panas terperangkap di dalam khemah.

“Malah, material yang digunakan juga berteknologi tinggi dan bebas daripada sebarang isu kepenggunaan termasuk isu penggunaan bahan kimia,” katanya.

Tambahnya, menerusi kerjasama dengan UFL, Malaysia muncul sebagai negara pertama di rantau Asia Tenggara yang memasarkan barangan jenama tersebut.

Pihaknya juga yakin Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk jenama tersebut memandangkan aktiviti rekreasi dan sukan lasak di negara ini berkembang dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - K! ONLINE