Ketua Pengarah UFL, Datuk V. Radha Krishnan berkata, kesemua koleksi baju T berkenaan akan dipasarkan di semua rangkaian premis menjual kelengkapan sukan Al-ikhsan yang terpilih di seluruh negara.

“Ini menandakan satu kejayaan baharu untuk UFL dalam usaha kami untuk menceburi segmen baharu perniagaan di luar zon sukan, kecergasan dan aktiviti luar,” katanya.

Menurut Radha, selepas memperoleh hak eksklusif untuk mengedar jenama FBT enam tahun lalu, UFL sentiasa berusaha untuk kekal berinovasi dengan mempelbagaikan rangkaian pemasaran janama berkenaan bagi meningkatkan aliran pendapatan syarikat.

Justeru katanya, pihaknya telah memilih Al-ikhsan sebagai rakan strategik bagi mengembangkan pemasaran jenama FBT di negara ini kerana syarikat berkenaan merupakan peruncit yang mengedarkan pelbagai kelengkapan termasuk pakaian sukan.

Malah, sempena kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung tahun lalu, UFL turut menjalinkan kerjasama dengan Al-ikhsan dengan mengedarkan koleksi pakaian rasmi kejohanan tersebut di 20 rangkaian kedai sukan tersebut di seluruh negara.

“Kami percaya jumlah rangkaian premis yang besar selain kepakaran mereka dalam perniagaan peruncitan, ia akan memberi peluang yang besar kepada kami untuk meluaskan pasaran jenama FBT ke seluruh negara.

“Tambahan pula, watak adiwira daripada komik Marvel sememangnya mempunyai peminat dan pengikutnya yang tersendiri dan kami yakin dapat mencapai sasaran seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-ikhsan Sports, Vach Pillutla berkata, pihaknya sangat teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan UFL bagi mengedarkan jenama FBT di rangkaian kedai terpilihnya.

“Marvel merupakan salah satu jenama francais yang paling berjaya di peringkat global dan jumlah peminatnya dalam kalangan pengguna di Malaysia juga adalah sangat tinggi.

“Dengan jumlah pelanggan melebihi lapan juta setiap tahun melalui rangkaian 120 kedai, kami percaya ia merupakan satu perkara yang sangat baik dan akan memberi makna dalam kerjasama ini,” katanya.

Beliau turut menggesa peminat Marvel untuk melawat rangkaian Al-ikhsan berdekatan untuk memiliki koleksi adiwira Marvel kegemaran mereka sebelum terlambat memandangkan baju T adiwira popular seperti Kapten Amerika, Ant-Man, Spiderman dan Ironman kebiasaannya menjadi pilihan utama peminat komik berkenaan. - K! ONLINE