UEM Sunrise mempunyai pemilikan secara usaha sama bagi sebuah tanah pembangunan bercampur berhadapan pantai dengan keluasan 12.43 hektar di Durban.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya ketika ini sedang berbincang dengan rakan kerjasama berpotensi bagi me­laksanakan projek pembangunan hartanah seperti kediaman, hotel dan komersial di sana.

“Kami akan bekerjasama de­ngan syarikat tempatan bagi memastikan urusan pembangunan projek dapat dilaksanakan de­ngan lebih lancar kerana mereka lebih mahir dari segi ekosistem, selain mempunyai rangkaian dan pembekal tempatan.

“Syarikat menjangkakan dapat memuktamadkan berhubung rakan kerjasama ber­kenaan pada tahun ini.

“Selain itu, sebagai permulaan, UEM Sunrise me­rancang untuk membangunkan dua­ plot tanah di Durban dan sekiranya projek ini berjaya, kami menjangkakan nilai hartanah berkenaan akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program lawatan media di beberapa projek pembangunan kediaman dan komersial UEM Sunrise di sini dan galeri jualan hartanah­nya di Singapura baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng dan Pengarah Selatan 2, Zamri Yusof.

Menurut Anwar, pihaknya yakin terhadap pasaran di Afrika Selatan selepas melihat kedudukan Durban yang stra­tegik dan persekitaran ekonomi sekitar yang rancak.

“Terdapat banyak pengilang kenderaan jenama terkemuka seperti BMW, Toyota dan Lexus beroperasi di sana, justeru itu ia menunjukkan aktiviti ekonomi yang positif tersedia di Durban.

“Malah, Durban adalah pelabuhan kargo terbesar di Afrika Selatan dan salah satu daripada pelabuhan paling sibuk, malah hartanah milik kami terletak berdekatan dengan pelabuhan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, meskipun pasaran Australia ketika ini agak lemah, UEM Sunrise melihat perkara tersebut sebagai peluang untuk mengembangkan pemilikan tanah yang berpotensi di negara berkenaan.

“Sebagai langkah strategik masa hadapan, syarikat akan tetap membangunkan projek kediaman khususnya bangunan bertingkat yang akan memberi fokus kepada pelanggan tempatan di Australia dengan tawaran harga lebih rendah,” ujarnya.