TNB dalam kenyataannya berkata, pengenalan arang batu campuran tersebut turut dapat membantu mengukuhkan kelestarian pembekalan arang batu bagi Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah pada masa hadapan.

“Pelaksanaan ini juga dilihat selaras trend semasa dalam kalangan sektor utiliti, iaitu menggunakan arang batu campuran untuk memastikan bekalan bahan bakar itu dapat memenuhi keperluan penjanaan tenaga elektrik.

“Operator Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, TNB Janamanjung Sdn. Bhd. juga akan melaksanakan kajian pembakaran dan analisis makmal bagi memastikan arang batu campuran itu menetapi piawaian tinggi yang ditetapkan sebelum sumber ini digunakan,” katanya di sini semalam.

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah telah menerima penghantaran pertama arang batu campuran pada 31 Disember lalu, di Lekir Bulk Terminal yang sepenuhnya dimiliki oleh anak syarikat milik penuh TNB, Integrax Bhd.

Bekalan arang batu tersebut diimport daripada Indonesia oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Fuel Services Sdn. Bhd. yang juga membekal gas dan arang batu bagi stesen jana kuasa elektrik dalam negara.