Kerjasama tersebut adalah untuk melaksanakan pendigitalan penyelesaian operasi dan penyelenggaraannya (O&M) dalam industri minyak dan gas (O&G).

Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Anuar Abd. Rahman berkata, di bawah perjanjian tersebut, TM ONE dilantik sebagai antara rakan usaha sama teknologi rasmi EPOMS dalam menyediakan penyelesaian digital yang menyeluruh untuk tenaga kerja dan pengurusan data yang lebih berhubung.

Menurutnya, kerjasama itu juga dilihat akan dapat meningkatkan usaha ke arah pendigitalan O&M, langkah ke arah menjadikan industri lebih produktif, pantas dan bersedia untuk masa depan.

“Kerjasama digital ini akan memberikan EPOMS teknologi dan sumber yang diperlukan untuk memacu kadar sistem pengurusan pangkal­an data bersepadu sedia ada kami, MyEPOMSx, dalam pengembangan dan penempatan digitalnya,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi TM, Imri Mokhtar menerangkan, pihaknya menjangka EPOMS akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan kecemerlangan operasi.

“Ini juga merupakan peluang kepada kami untuk menunjukkan aset digital dan bagaimana TM ONE memperkasakan IR4.0 dengan menyediakan penyelesaian menyeluruh,” katanya.

Kerjasama itu berdasarkan tiga inisiatif digital iaitu penyelesaian Smart Safety Helmet, Connected Workforce dan Predictive Maintenance.

TM ONE akan menyediakan jaring­an menyeluruh, pengurusan data, perkhidmatan awan dan penyelesaian yang disesuaikan untuk kebimbangan dalam integriti aset dan kebolehpercayaan aset.

Ia juga akan membantu penempatan sistem digital dan menyediakan penyelesaian teknikal supaya EPOMS lebih kompetitif.