Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Bazlan Osman berkata, pelan jalur lebar pada kelajuan 30 Megabait sesaat (Mbps) dengan kuota penggunaan sebanyak 60 Gigabait (GB) sebulan itu menawarkan harga 50 peratus lebih rendah daripada pelan unifi Home 30Mbps sedia ada.

“Sebagai peneraju konvergens, TM komited untuk menyediakan penawaran perkhidmatan seumpama ini bagi memastikan semua rakyat Malaysia mampu menikmati manfaat jalur lebar, mudah alih, WiFi dan kandu­ngan, sekali gus mendorong pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah memperkenalkan pelan jalur lebar untuk isi rumah segmen B40 ini juga sejajar de­ngan seruan kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati internet jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran beberapa pelan jalur lebar dan mudah alih unifi di sini semalam.

Pelan unifi Basic boleh dilanggan secara eksklusif secara online di unifi.com.my/unifi-basic dan akan ditawarkan bermula 15 Ogos ini selain pendaftaran awal yang boleh dibuat bermula 15 Julai 2018.

Sementara itu, selain unifi Basic, TM turut memperkenalkan pelan-pelan unifi Turbo berkuatkuasa 15 Ogos ini, pelanggan unifi Home sedia ada yang menikmati perkhidmatan jalur lebar, telefon dan kandungan akan dinaik taraf secara berperingkat.

Menurut Naib Presiden Eksekutif unifi, Imri Mokhtar, proses naik taraf itu adalah 10 kali ganda kelajuan jalur lebar sedia ada pada harga langganan bulanan yang sama.

“Misalnya, pelanggan 30Mbps unifi Home sedia ada akan dinaik taraf sehingga ke 300Mbps, manakala pelanggan 100Mbps unifi Home pula akan dinaik taraf sehingga ke 800Mbps,” jelasnya.