Keuntungan sebelum cukai Kumpulan naik sebanyak 14.1 peratus kepada RM1.05 bilion daripada RM918.5 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, prestasi yang lebih baik itu sebahagian besar dipacu oleh hasil perkhidmatan internet dan multimedia yang lebih tinggi.

Jelasnya, kedua-dua perkhidmatan itu mencatat pertumbuhan sebanyak 8.3 peratus pada tahun kewa­ngan lalu kepada RM3.97 bilion, sete­rusnya menyumbang sebanyak 33 peratus kepada perolehan Kumpulan.

“Tahun 2017 merupakan tempoh mencabar tetapi bersifat transformasi buat TM tetapi tetap menca­tatkan hasil dan keberuntungan yang baik di sam­ping kekal fokus terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang turut dipacu oleh aspirasi Perfexe 10 syarikat.

“Pendekatan pelaksa­naan Perfexe 10 yang holistik telah membawa kami dalam melaksanakan pelan-pelan berkeutamaan tinggi sambil memacu penyatuan dan memperkasakan usaha digitalisasi.

“Menerusinya, kami men­jenamakan semula kluster perniagaan TM iaitu unifi yang mewakili penawaran gaya hidup untuk kediaman, individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS); TM One.

“Perkhidmatan tersebut menawarkan rumusan bersepadu kepada perniagaan dalam sektor perusahaan dan awam serta TM Global yang diletakkan untuk memacu peluang digital dalam telekomunikasi domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman pres­tasi kewangan TM ber­akhir 31 Disember 2017 di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob.

Mohammed Shazalli menjelaskan, Kumpulan TM terus menjadi pe­neraju dalam menjayakan ekonomi digital negara dengan pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar dan merapatkan jurang digital dalam negara.

Sehingga akhir 2017, TM mencatatkan jumlah pe­langgan jalur lebar melebihi 2.3 juta pelanggan.

Perkhidmatan utama­nya, unifi untuk kediaman serta perusahaan kecil dan sederhana merekodkan lebih 1.1 juta pelanggan manakala unifi mobile mencapai kadar 9.8 peratus kadar penembusan isi rumah TM.