Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, jumlah pengeluaran (TPV), yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengeluaran kende­raan dalam negara untuk kegunaan domestik dan eksport, dijangkakan meningkat empat peratus tahun ini kepada antara 530,000 dan 535,000 unit.

Menurutnya, industri automotif tempatan melabur RM3.99 bilion tahun ini sehingga 2022, selain RM7.6 bilion yang disediakan sejak 2014-2017.

“Sektor automotif dijangka menyumbang 4.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, berbanding empat peratus tahun lepas,” kata­nya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan Prestasi Industri Automotif 2017 dan Unjuran 2018 di sini semalam.

Mustapa menjelaskan, penembusan kenderaan cekap tenaga (EEV) di negara ini dijangka meningkat buat tahun kelima berturut-turut, dengan mencecah 60 peratus ken­deraan yang dijual.

Penembusan EEV tahun lepas sebanyak 52 peratus, melepasi sasaran penembusan 50 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengeluaran EEV meningkat daripada 247,912 unit pada 2016 kepada 308,807 unit pada 2017.

“Pertumbuhan berterusan ini menunjukkan kesedaran ke atas EEV dalam industri automotif Malaysia, semakin meningkat.

“Penerimaan dan kesedaran ke atas kenderaan cekap tenaga ini bukan tugas tunggal kementerian, sebaliknya menekankan sokongan dan penyertaan semua institusi kerajaan, pengeluar peralatan automotif asli dan vendor, serta orang ramai secara keseluruhan,” jelasnya. – Bernama