Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, pada masa ini penggunaan produk sawit di dalam negara hanya pada paras 20 peratus manakala baki 80 peratus lagi dieksport.

“Kami menyeru ke­semua pengeluar produk hiliran sawit supaya meletakkan logo kempen Sayangi Sawitku pada label produk mereka sebagai langkah mendidik pengguna bahawa produk yang diambil mereka itu diperbuat daripada sawit,” katanya pada sesi soal jawab semasa perjum­paan bersama syarikat di bawah Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) di Bangi dekat sini semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Kok berkata sejak melancarkan kempen awal Sayangi Sawitku di peringkat nasional, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bersama rakyat termasuk golongan pelajar sekolah, kolej serta universiti.

“Kempen ini bertujuan memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan terhadap minyak sawit Malaysia serta penghargaan atas sumbangannya kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Kok menjelaskan pelaksanaan mandatori Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) bagi kilang pemprosesan sawit yang terlibat dengan COSS adalah pada 30 Jun depan.

“Bagi kemudahan pemprosesan sawit yang tidak terlibat dengan COSS, mereka perlu mendapatkan pensijilan SCCS sebelum 31 Disember 2019,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir pada perjum­paan itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM600 juta bagi subsidi minyak masak tahun ini.

“Peruntukan ini membabitkan 60,000 tan minyak masak yang disubsidikan, melibatkan 280 pembungkus di bawah skim COSS di seluruh negara.

“Kerajaan akan memberi subsidi kepada mereka sebanyak 60 sen bagi setiap peket minyak masak satu kilogram berharga RM2.50,” katanya. – Bernama