Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pada minggu lalu TM telah mengemukakan pelan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia bertujuan untuk memboleh­kan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati akses dan sambungan yang lebih baik.

Menurutnya, TM bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membolehkan lebih banyak penduduk dari kawasan luar bandar dan sub-bandar menikmati perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik.

“TM akan menangani kekangan jalur lebar rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi yang bersesuaian termasuklah fiber, wayarles dan GigaWire yang bakal dilaksanakan melibatkan peralihan pelanggan secara berperingkat bermula sekarang hingga 2021.

“Dengan itu, diharapkan 70 peratus pelanggan Streamyx dapat menikmati perkhidmatan unifi pada akhir 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran unifi Air, unifi Lite dan aplikasi myunifi di sini semalam.

Dalam pada itu, TM menerusi jenama utamanya, unifi telah menyempurnakan program naik tarafnya pada bulan April 2019 dengan 973,000 orang pelanggan unifi telah berjaya dinaik taraf kepada 10 kali ganda daripada kelajuan sedia.

Sementara itu, Pemangku Naib Presiden Eksekutif unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, unifi Air merupakan salah satu daripada penyelesaian untuk mempertingkatkan pengalaman internet pelanggan Streamyx sedia ada yang tinggal di dalam kawasan liputan LTE.

Jelas beliau, unifi Air didatangkan dengan modem pasang dan guna tanpa wayar (plug-and-play wireless modem) yang mudah dan boleh menghubungkan sehingga 64 peranti dengan kelajuan purata 20Mbps.

“unifi Air merupakan naiktaraf bagi perkhidmatan kami yang sedia ada dan ditawarkan dari serendah RM79 sebulan untuk mempertingkatkan capaian internet rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, kami akan memindahkan pelanggan Streamyx sedia ada yang berada di luar kawasan liputan fiber unifi dan LTE kepada pelan terbaharu unifi Lite pada harga yang lebih rendah iaitu RM69 sebulan terlebih dahulu bermula bil bulan September 2019,” kata­nya.

Tambahnya, aplikasi myunifi pula bertujuan untuk memberikan pelanggan pengalaman lebih mudah menguruskan akaun unifi mereka dengan menawarkan ciri-ciri seperti pemasangan 24 jam, bantuan sokongan secara live chat 24 jam, jaminan kehadiran dan kemudahan pembayaran yang lebih mudah.