Sime Darby Oils merupakan unit hiliran milik penuh Sime Darby mengeluarkan produk ALIF yang kini berada pada tempat keempat dari­pada lima pengeluar utama semasa.

Pengarah Urusannya, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, syarikat itu perlu mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk memba­ngunkan semula rangkaian pengedarannya bagi meluas penguasaan pasaran tersebut.

“Terdapat banyak jenama kukuh di pasaran dan kami perlu memikirkan kedudukan nilai kami.

“Pelancaran semula jenama ALIF dengan label baharu yang bermutu dan bermaklumat adalah antara langkah ke arah itu, kami menekankan produk itu disahkan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penampilan baru ALIF di sini semalam.

Jenama minyak utama yang lain ialah Saji, Helang, Vesawit, Buruh dan Knife.

Mohd. Haris menyifatkan, jumlah pengeluaran kecil ALIF ke pasaran bersubsidi, dengan kuota jualan syarikat itu hanya kira-kira 129,950 kilogram sebulan, jumlahnya kecil berbanding jenama-jenama lain.

“Bagaimanapun, apabila kerajaan mengubah dasar subsidi pada tahun 2017, ia menyediakan ruang persai­ngan yang sama rata kepada kami.

“Itu sebabnya kami berazam untuk menjadi jenama nombor satu,” katanya.

Tambah beliau, walaupun jenama itu kini hanya dipasarkan di Malaysia, mereka merancang untuk memperluas pasaran ke Indonesia dan Singapura.

“Di Indonesia kami mempunyai kilang di Kalimantan, yang diharapkan dapat mengembangkan jenama ALIF di sana menjelang akhir tahun ini," katanya.

Wajah baharu ALIF menampilkan logo Sayangi Sawitku, sebagai salah satu usaha syarikat untuk meningkatkan pengetahuan rakyat mema­hami manfaat minyak sawit. – Bernama