Meskipun telah menceburi industri kejurute­raan selama lapan tahun, lelaki berwajah kacukan itu tetap yakin pilihan yang diambil untuk membangunkan jenama pakaian­ Muslimah khususnya bagi kelengkapan haji dan umrah adalah tepat.

Ironi daripada terlibat dalam bidang mekanikal, kini beliau bermain de­ngan lakaran pelbagai rekaan untuk koleksi jenama yang dibangunkannya.

Pemilik jenama eks­klusif Nur Aishah, Mirza Elyas Baig berkata, apa yang penting dalam mencipta sebuah kejayaan adalah disiplin, semangat serta minat dan gabungan semua itu akan menjadikan seseorang lebih maju pada masa hadapan.

“Nur Aishah kini telah melancarkan cawangan keduanya di Bangi dan pembukaan kali ini berjalan dengan lancar selepas segala persiapan dilaksanakan dengan rapi dan tersusun mengikut apa yang dirancang.

“Diperkenalkan secara butik fizikal sejak November 2016 lalu, permintaan pelanggan terhadap jenama ini adalah sangat memberangsangkan dan kami mempunyai penggemar sendiri yang datang dari pelbagai tempat termasuk Singapura dan Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian­ kepada Kosmo! selepas merasmikan pembukaan galeri kedua Nur Aishah di Taman Ostia Utama, Bandar Baru Bangi di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh.

Koleksi eksklusif Nur Aishah termasuk tele­kung dan busana Muslimah seperti jubah, abaya, khimar, tudung, selendang serta blaus.

Ditebak dengan persoalan mengapa masih mengambil langkah untuk membuka cawangan sedangkan ekonomi ketika ini dilihat tidak menentu dan kuasa beli juga merosot, beliau menjawab sebenarnya ia adalah pe­luang baik pada masa hadapan.

“Dalam percaturan perniagaan, kita perlu memandang lebih ke hadapan dan syarikat perlu bekerja keras me­ngukuhkan kehadiran Nur Aishah di pasaran dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

“Kami percaya keyakinan pelanggan terhadap jenama ini akan melon­jakkan jualan khususnya ketika musim perayaan nanti,” ujarnya.

Tambah Mirza Elyas, untuk kekal relevan koleksi Nur Aishah disuntik dengan nilai eksklusif dalam setiap helaiannya namun, ia ditawarkan pada harga yang rendah selain memberi tumpuan kepada golongan B40.

“Ini uniknya perniagaan kami jalankan, ia ditawarkan pada harga berpatutan tapi tidak berkompromi dengan kualiti dihasilkan.

“Nur Aishah juga akan memperkenalkan rekaan baharu bagi setiap dua atau tiga bulan dalam memberi pilihan serta sesuatu yang segar kepada pelanggan,” katanya.