Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Ezumi Harzani Ismail berkata, ini kerana kos pembinaan merangkumi 30 peratus manakala baki­nya, 70 peratus melibatkan kos tanah dan aspek pematuhan yang kian meningkat.

“Pengecualian SST yang akan berkuat kuasa 1 September ini tidak bermakna akan memberi pengurangan sebanyak enam pera­tus tetapi mungkin hanya kurang peratusan sedikit sahaja iaitu sebanyak dua hingga tiga peratus.

“Tiada impak besar dilihat dalam industri hartanah susulan pengenalan semula SST memandangkan apabila terdapat faktor pengurangan, sesetengah pihak akan mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran projek perintis dan pameran MY.HSE : Kajian Kes Perumahan Masa Depan Malaysia sempena penganjuran Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2018 (KLAF 2018) di sini semalam.

Turut hadir Penaung Diraja KLAF 2018, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan mengumumkan bahawa material pembinaan termasuk besi, simen dan pasir tidak dikenakan SST.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini, material asas seperti bata, simen dan bahan-bahan lain serta perkhidmatan pembinaan tertakluk di bawah kadar standard enam peratus GST, seterusnya menyebabkan kenaikan dalam kos pembinaan sekali gus meningkatkan harga kediaman.

Beliau menjangkakan langkah pengecualian baharu itu dapat mengurangkan kos pembinaan dan memberi manfaat kepada pemaju dan pembeli.