Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, rumah mampu milik itu merupakan projek pembangunan kedua syarikat di Negeri Sembilan selepas projek sulungnya siap di Bandar Enstek dekat Nilai.

Menurut beliau, Warisan Pu­teri 2 melibatkan nilai pemba­ngunan kasar sebanyak RM400 juta dengan meliputi kawasan seluas 42.7 hektar.

Projek berkenaan merupakan fasa terakhir di dalam bandar satelit Warisan Puteri.

“Rumah mampu milik itu dibina dengan keluasan 6 meter x 18 meter (20 kaki x 60 kaki) pada harga RM80,000 yang akan di­mulakan pada tahun 2019.

“Projek ini seiring dengan usa­ha syarikat untuk menyokong Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mahu menambah bilangan rumah mampu milik bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah mempunyai aset kediaman ma­sing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kepada 10 pembeli rumah teres di Warisan Puteri 2 di sini baru-baru ini.

Penyerahan replika kunci di­sempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan TH Properties, Datuk Mohzani Datuk Dr. Abdul Wahab.

Sementara itu, Roszali menjelaskan, rumah teres Sutera dan Eliya yang turut dibangunkan di Warisan Puteri 2 masing-masing dilancarkan pada 2016 dan 2017.

Tambah beliau, rumah teres tersebut terdiri masing-masing daripada 89 dan 99 unit kediaman dua tingkat yang dijual di bawah harga RM400,000

Beliau berkata, rumah jenis Sutera mempunyai ruang binaan daripada 166.8 meter persegi hingga 185.1 meter persegi, manakala Eliya 167.8 meter persegi hingga 175.1 meter persegi.

“Selain untuk didiami, kediaman di sini sesuai dijadikan peluang pelaburan yang baik ke­rana lokasinya yang ideal dengan rangkaian akses yang mudah serta dilengkapi prasarana moden,” katanya.