Premis berkeluasan 9,500 meter persegi yang dibuka semalam itu merupakan rangkaian ke-58 syarikat tersebut di Malaysia dan ketujuh di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, pembukaan itu merupakan pelaburan yang signifikan memandangkan rangkaian pasar raya tersebut mendapat sambutan baik daripada para pelanggan di negeri ini.

“Bangunan pasar raya dibina oleh kontraktor (yang dilantik) dan ia melibatkan kos RM13 juta sehingga siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pe­rasmian pasar raya Tesco Bagan Ajam, Butterworth di sini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pembukaan pasar raya itu menawarkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Ritchie berkata, pihaknya merancang untuk membuka sekurang-kurangnya dua buah lagi pasar raya baharu menjelang tahun 2020.

“Kami sedang melihat beberapa tapak untuk tahun hadapan selain memberi perhatian kepada (aspek) membaik pulih pasar raya sedia ada bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Kami berharap untuk membuka dua atau tiga buah lagi pasar raya pada tahun hadapan,” katanya lagi.