Petronas berkata, pe­nemuan itu menandakan satu pencapaian besar bagi syarikat se­iring usa­hanya untuk mengembangkan pertumbuhan huluan di Afrika Barat dan membuktikan ke­upayaan cari gali sempadan serta operasi laut dalamnya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Mohd. Anuar Taib (gambar) berkata, pe­nemuan tersebut merupakan perkembangan positif bagi syarikat minyak dan gas berkenaan.

“Ia adalah perkembangan menggalakkan bagi Petronas memandangkan syarikat terus berusaha mencapai pertumbuhan aktiviti di luar Malaysia, seiring dengan strategi memperluaskan perniagaan mi­nyak dan gas utama kami menerusi penambahan jumlah sumber,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Mohd. Anuar berkata, telaga cari gali laut dalam berkenaan digerudi dalam kedalaman air 2,800 meter dan menemui 90 meter pasir pragaram yang mengandungi hidrokarbon berkualiti tinggi.

Jelas beliau, selain memajukan industri minyak dan gas Gabon, penemuan tersebut akan merancakkan lagi aktiviti pertumbuhan di rantau itu, di samping melengkapkan pencapaian Petronas ke arah membangunkan portfolio laut dalam yang lebih kukuh di peringkat dunia.

“Petronas bersama-sama Kementerian Petroleum dan Hidrokarbon Gabon akan melaksa­nakan penilaian selanjutnya untuk menentukan aspek pengkomersialan jumlah sumber berkenaan,” katanya.

PCGUSA merupakan pengusaha Blok F14 (Likuale), dengan Woodside dari Australia memiliki 30 peratus kepentingan penyertaan.

Setakat ini, portfolio laut dalam Petronas termasuk perkongsian medan laut dalam Gumusut-Kakap, Malikai dan Kikeh yang terletak di luar pesisir Sabah.

Selain itu, akan terdapat dua lagi projek pembangunan laut dalam baharu bagi portfolionya iaitu medan Limbayong di Sabah dan Kluster Kelidang di Brunei.

Mohd. Anuar berkata, operasi huluan global syarikat terus berkembang di Me­xico selepas memperoleh enam blok laut dalam menerusi pusingan bidaan 2.4 dan sekali gus meletakkannya sebagai peme­gang keluasan ekar kasar kedua terbesar di luar pesisir Mexico dengan keseluruhan sembilan blok.