Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Li Chunrong berkata, lebih 1,000 daripada tempahan tersebut diterima melalui platform online yang mana pelanggan boleh menempah model tersebut hanya dengan RM9.99.

“Oleh kerana model ini mendapat penerimaan luar biasa, syarikat melanjutkan tempoh tempahan secara online sehingga 17 September ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Chunrong menjelaskan, melihatkan kepada angka tempahan yang diterima, Saga 2019 ini sangat popular dalam kalangan pelanggan yang tertarik dengan rekaannya yang diperbaharui, komponen yang dipertingkat serta sistem infotainmen skrin sentuh yang ditawarkan.

“Kami juga kagum dengan jumlah tempahan online yang diterima, angka tersebut telah melebihi jumlah yang kami terima untuk Proton X70,” ujarnya.

Selain itu, Proton memaklumkan bahawa momentum kenaikan jualan bagi tahun 2019 diteruskan dengan mencatatkan jualan kereta sebanyak 9,127 unit pada bulan Ogos 2019.

Jumlah tersebut mewakili sebanyak 17.6 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Ogos dan menjadikan keseluruhan penguasaan pasaran syarikat untuk tahun ini ialah sebanyak 15.3 peratus.

Chunrong menerangkan, Proton merupakan salah satu daripada lima jenama terkemuka mencatatkan jumlah pertumbuhan dua digit.

“Dengan kadar pertumbuhan terbaik berbanding lima jenama automotif di Malaysia, syarikat kini berada pada kedudukan yang betul untuk mengatasi ke­seluruhan jualannya pada 2018 iaitu sebanyak 64,744 unit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Chunrong menjelaskan, jumlah jualan yang dicatat pada akhir Ogos adalah sebanyak 61,396 unit dan menjangkakan momentum pertumbuhan jualan akan kekal sehingga hujung tahun.

Pihaknya juga berharap dapat mengatasi jumlah jualan tahun 2018 sebelum akhir bulan September.