Terletak di pusat beli-belah terkemuka, Junction Square, Yangon, kedai Tealive di negara itu dibuka secara rasminya Sabtu lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd. (Loob Holding), Bryan Loo berkata, pembukaan cawangan di Myanmar adalah susulan daripada sambutan hangat pembukaan kedainya di pusat membeli-belah Aman Hills, Bandar Sri Begawan, Brunei pada bulan lalu.

Katanya, pembukaan cawa­ngan tersebut menerima sambutan hangat peminat teh di Myanmar yang beratur panjang untuk menikmati minuman terkenal Tealive seperti Teh Susu Pearl dengan Gula Perang selain minuman daripada siri Bang Bang yang mengandungi ‘pearl’ bersalut gula perang yang suam dan lembut.

“Rakan kongsi tempatan kami, Myanmar Food for Thought Co. Ltd. (MFFT) telah memutuskan untuk membuka lima cawangan Tealive menjelang akhir tahun ini.

“Kami mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pasukan MFFT kerana mereka adalah pemain berpengalaman di dalam industri makanan dan minuman Myanmar dengan rekod prestasi yang memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tealive ialah jenama teh gaya hidup terkemuka di Malaysia dan memiliki sebanyak 317 kedai seluruh negara.

Selain di Myanmar, Vietnam dan Brunei, Tealive turut mempunyai cawangan di China, Australia dan United Kingdom.

Tambah Bryan, pihaknya juga sedang menjalinkan kerjasama dengan satu lagi rakan kongsi untuk memasuki pasaran Fi­lipina, sebuah pasaran yang sedang giat berkembang di rantau ASEAN.

“Dengan sambutan mengga­lakkan di Vietnam, Brunei dan terbaharu di Myanmar, kami optimis untuk mengembangkan lagi Tealive ke negara-negara lain,” katanya.