Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamal Mohd. Ali berkata, syarat utama pembiayaan bersama antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak ialah seorang daripada pemohon bersama tersebut mesti merupakan penjawat awam.

“Tujuan utama skim ini adalah untuk membantu peminjam terutamanya kakitangan sektor awam memperoleh jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding permohonan secara individu, sekali gus memberi peluang untuk pembelian kediaman yang lebih selesa.

“Ia juga membantu kakitangan sektor awam me­ngurangkan komitmen bulanan pembiayaan dengan bayaran balik pinjaman dikongsi antara peminjam bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MBSB Bank Bhd. (MBSB Bank) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi LPPSA, Datuk Seri Dr. Ismail Abu Bakar.

Kamal berkata, melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan bersama berdasarkan syarat dan prosedur yang dipersetujui bersama, antaranya MBSB Bank menyediakan pembiayaan bagi pemohon yang berkhidmat di sektor swasta.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, MBSB Bank dan LPPSA menawarkan dua kategori pinjaman iaitu pembiayaan rumah siap dan masih dalam pembinaan.

Ujar beliau, pihaknya menawarkan kemudahan untuk membiayai jumlah wang beza antara jumlah pembiayaan yang diluluskan LPPSA dengan baki harga rumah.

“Ini bermakna jika harga rumah RM300,000 dan jumlah yang diluluskan LPPSA adalah lebih rendah daripada harga hartanah atau pada kadar RM250,000, pemohon boleh memohon pembiayaan wang beza itu daripada pihak kami selaku institusi pembiayaan bersama” jelasnya.

Ahmad Zaini berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi menjayakan skim berkonsepkan patuh syariah Tawarruq itu untuk tempoh tiga tahun dengan pelaksanaannya dalam tempoh terdekat. 
– Bernama