Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Ab. Latiff Abu Bakar berkata, produk takaful keluarga yang ditaja jamin oleh pihaknya itu ditawarkan kepada pelanggan Agrobank dan masyarakat umum pada harga mampu milik.

“Pakej Perlindungan Tenang yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan lalu memberikan alternatif kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk syarikat kecil, untuk mendapatkan perlindungan takaful.

“Oleh itu, rangkaian cawangan Agrobank di seluruh negara merupakan saluran terbaik bagi memasarkan produk ini kepada golongan sasar,” katanya menerusi satu kenyataan bersama kedua-dua pihak di sini hari ini..

Produk Agro Mabrur-i menawarkan manfaat sehingga RM13,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat semulajadi dan manfaat sehingga RM26,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat kemalangan dengan sumbangan serendah RM75 setahun.

Sementara bagi penyertaan berkelompok untuk persatuan atau syarikat pula, pelan yang ditawarkan adalah serendah RM40 setahun dengan nilai perlindungan RM5,000 untuk penyertaan minimum 20 orang.

Manfaat lain pelan Agro Mabrur-i adalah badal haji berjumlah RM3,500; wakaf (RM500), perbelanjaan serta-merta kematian (RM1,000).
Bagi pelanggan bukan Islam, manfaat badal haji dan wakaf dibayar sebagai tambahan kepada manfaat perbelanjaan serta-merta  kematian. - K! ONLINE