Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Wan Sazriz Wan Zahid berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat kewangan dan syarikat pembekal perniagaan ke perniagaan untuk membina model pembiayaan tersebut.

Jelasnya, sejak dilantik memegang jawatan tersebut pada Januari lalu, beliau telah mengkaji semula perancangan jangka panjang syarikat dan berpendapat, PMB Tijari memerlukan satu nafas baharu dan perlu mencari satu perincian untuk dipenuhi.

“Selaku syarikat yang memfokuskan pembiayaan kepada pembangunan usa­hawan bumiputera, kami sedang membangunkan satu model supaya mampu menangani segmen yang sebelum ini agak sukar untuk mendapat pembiayaan.

“Misalnya, syarikat yang terlibat dalam program pembangunan vendor dan rantaian pembekalan.

“Syarikat-syarikat ini mungkin tidak berpeluang mendapat pembiayaan di­sebabkan gagal mencapai standard tertentu, ataupun sedang dalam fasa perniagaan yang berbeza, terlalu kecil misalnya.

“Kami berhasrat memberi pembiayaan kepada syarikat seperti ini, namun ia mungkin hanya boleh berlaku menerusi kerjasama dengan syarikat berkepentingan, se­perti kementerian, agensi kerajaan atau pihak yang memberikan projek kepada syarikat-syarikat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat Pelaburan Mara di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Sazriz, proses pembangunan model pembiayaan tersebut sedang berjalan secara berperingkat dan pada suku kedua tahun ini, pihaknya dijangka melancarkan satu program pembiayaan dengan sebuah syarikat.

Jelas beliau, ia disasarkan dapat membantu polisi-polisi berkaitan pembangunan syarikat bumiputera.

Jelasnya, sejak ditubuhkan pada 2014, pihaknya telah mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM200 juta kepada 100 perniagaan.

Tambah beliau, untuk tahun ini, pihaknya menya­sarkan untuk mengeluarkan pembiayaan antara RM80 juta hingga RM100 juta kepada 40 hingga 50 usahawan baharu.

Mengulas mengenai langkah untuk memberikan pembiayaan kepada lebih banyak usahawan, Wan Sazriz berkata, pihak­nya berhasrat meningkatkan kadar pemberian pembiayaan berjangka pendek, dalam tempoh kurang setahun berbanding pembiayaan jangka panjang daripada 60:40 buat masa ini kepada 80:20 dalam tempoh tiga tahun.