Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pembangunan di kawasan seluas 40.47 hektar di mukim Hulu Bernam Timur itu adalah hasil usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Mobile Starhill (M) Sdn. Bhd. (Mobile Starhill)

“Jika persefahaman ini berjaya, ia akan membawa peluang pekerjaan, perniagaan dan pembangunan di Muallim dengan lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara PKNP de­ngan Mobile Starhill di sini semalam.

PKNP yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd. Ariff Yeop Ishak, manakala Mobile Starhill oleh Pengerusi Eksekutifnya, Dr. Goh Tian Chuan.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya memberi jaminan akan memproses segera sebarang keperluan bagi pembangunan projek tersebut.

Sementara itu, Goh berharap projek tersebut dapat dimulakan secepat mungkin kerana ia dapat mengembangkan industri automotif tempatan.

“Projek dijangka mengendalikan pengeluaran, pemasangan dan penghantaran sistem serta acuan automotif,” ujarnya.

Terdahulu, Mohd. Ariff berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar RM7 bilion itu dijangka dapat menjadikan Muallim sebagai sebuah kawasan perindustrian dengan keupayaan menarik permintaan automotif yang besar di rantau ASEAN.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan, usaha sama ini juga dapat menarik pelabur sektor automotif tempatan dan luar negara ke Muallim dan seterusnya membawa vendor lebih dekat dengan Proton City,” katanya.