Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muha­mad Umar Swift berkata, ketika ini nisbah antara pelabur institusi dan runcit dalam pasaran ekuiti Malaysia berada pada kadar 75:25.

“Kami mahu melihat nisbah pada 70 peratus bagi pelabur institusi dan 30 peratus bagi pelabur runcit bagi tempoh jangka panjang,” katanya pada taklimat media selepas majlis pelancaran aplikasi itu di sini semalam.

Bursa Anywhere adalah aplikasi mudah alih yang membolehkan pelabur individu mengakses pelbagai perkhidmatan depositori pusat (CDS) di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Ia menyediakan pemantauan menyeluruh akaun CDS pelabur, me­nunjukkan nilai pasaran portfolio mereka dan menjadi pusat sehenti bagi pelabur runcit me­nguruskan semua perkara di Bursa Malaysia,” kata Muhamad Umar.

Jelasnya, pengalaman mudah alih baharu itu di­sasarkan kepada hampir dua juta pemegang akaun CDS di negara ini.

Mengenai prospek pasaran saham tempatan, Muhamad Umar berkata, asas Malaysia kekal kukuh meskipun keadaan luaran tidak menentu disebabkan oleh ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Sudah tentu kita masih mempunyai daya tarikan berbanding pasaran sedang pesat membangun lain, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh, kerajaan yang stabil dan sistem perbankan yang mantap sebagai pemacu utama pasaran,” katanya.

Beliau percaya lebih banyak tawaran awam permulaan (IPO) akan dilaksanakan tahun ini berbanding tahun sebelum­nya, walaupun penilaian IPO akan masih bergantung kepada syarikat yang membuat penyenaraian.

Pada 2018, Bursa Malaysia mencatatkan 22 IPO berbanding 14 penyenaraian pada 2017, tetapi jumlah yang dijana pada RM633.12 juta adalah lebih rendah berbanding RM7.38 bilion pada 2017 kerana kebanyakan IPO pada 2018 adalah penyenaraian pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).

Setakat ini, terdapat lapan penyenaraian tahun ini di bursa tempatan termasuk lima penyenaraian pasaran LEAP, dua di pasaran ACE dan satu di Pasaran Utama.

Menurut laman web Bursa Malaysia, akan ada tiga lagi penyenaraian tidak lama lagi, iaitu HPMT Holdings Bhd. yang akan disenaraikan di Pasaran Utama hari ini diikuti Greatech Techno­logy Bhd. dan Mestron Holdings Bhd. – Bernama