Pada masa ini, pemegang francais rangkaian restoran perkhidmatan segera KFC dan Pizza Hut itu mengendalikan sejumlah 810 buah restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei dan Kemboja serta 380 cawangan Pizza Hut di Malaysia dan 80 di Singapura.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Moha­med Kamil berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd. bagi membuka 50 cawangan pandu lalu KFC di stesen-stesen Petronas di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami juga merancang untuk menaik taraf sebahagian restoran yang ada bagi menampilkan imej yang lebih segar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan Kepong Industrial Park Group of Company di sini ­semalam.

Menerusi perjanjian tersebut, QSR Brands akan membuka dua cawangan restoran KFC pandu lalu di pusat beli-belah dan pasar raya milik Kepong Industrial Park Group menjelang suku keempat tahun 2019.

Dua lokasi terlibat adalah Kip Mall Desa Coalfields di Sungai Buloh, Selangor dan Kip Mart Lavender di Senawang, Negeri Sembilan.

Menurut Mohamed Azahari, syarikat kini menuju ke arah mo­del perniagaan yang menjalankan kerjasama dengan pelbagai industri termasuk syarikat pemaju yang mempunyai bila­ngan trafik yang lebih tinggi.

Beliau memaklumkan KFC dan Pizza Hut masing-masing mene­rima 25 juta dan 6 juta pe­langgan sebulan.