Pengarah Urusannya, Hiroki Mori berkata, pada mulanya syarikat hanya menyasarkan ahli seramai 400,000 orang menjelang penghujung tahun ini ketika program pemberian ganjaran kepada pelanggan menerusi aplikasi tersebut dilancarkan pada Januari lalu.

“Kami berjaya mengatasi sasaran yang telah ditetapkan. Pencapaian ini sangat membanggakan, malah, aplikasi itu telah membantu Sushi King mendekati pelanggan.

“Bukan sahaja mudah dan senang untuk digunakan, aplikasi itu turut membantu memaklumkan kepada para pelanggan mengenai menu-menu baharu yang ditawarkan.

“Dalam masa sama, ia turut memberi ganjaran pada masa-masa tertentu seperti hari jadi serta hari istimewa dan perayaan yang lain,” katanya ketika berucap di sini semalam.

Terdahulu, Mori hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada tiga pemenang utama peraduan Sushi King Travel With Smiles dalam satu majlis yang berlangsung di cawangannya di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini semalam.

Pemenang utama, Lai Chiung Kee telah me­nerima pakej percutian ke Tokyo, Jepun selama lima hari empat malam untuk dua orang yang bernilai RM15,000 manakala pe­menang tempat kedua, Aiman Shafiq Shafrul Affendy menerima hadiah bernilai RM1,000 dan pemenang tempat ketiga, Saufiah Abdul Rahim pula menerima hadiah bernilai RM500.

Mori menjelaskan, peraduan Sushi King Travel With Smiles yang dijalankan setiap setengah tahun bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pencinta makanan Jepun bagi me­rasai sendiri keaslian makanan tersebut di negara asalnya.

“Selain daripada program tersebut, Sushi King akan terus menjalankan pelbagai promosi yang menguntungkan pelanggan dari semasa ke semasa,” katanya.