Pengasas syarikat, Norain Ngah berkata, produk yang diinovasikan daripada cengkih dan menjadi lulur di sapu pada bahagian tertentu sehingga memberi kesan langsing kepada badan pengguna, telah mendapat sambutan menggalakkan di pasaran negara jiran seperti Brunei, Indonesia dan Singapura.

“Sehingga kini, sumbangan sebanyak 30 peratus diperoleh daripada jualan SSB dari ketiga-tiga negara tersebut dan ini membuktikan produk tempatan mempunyai pasaran luas di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra­ bersama media berhubung pelan perancangan syarikat pada tahun 2019 di Hotel Seri Petaling di sini baru-baru ini.

Norain menjelaskan, produk SSB dijangka berada di pasaran Laos menjelang suku pertama tahun ini dan ia kini dalam proses dokumentasi.

“Pembungkusan produk masih kekal seperti di Malaysia kerana kami tidak mahu mengelirukan pengguna sedia ada dan apa yang lebih diutamakan ialah mengenai kualitinya,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi mengukuhkan pasaran domestik dan menambah perolehan jualan pada tahun 2019, syarikat sedang menyusun strategi untuk meningkatkan lagi aktiviti promosi dan menambah rangkaian pemasarannya di seluruh negara.

“Sehingga kini, kami mempunyai 1,100 ejen dan stokis yang aktif dan menjangkakan akan menambahkan lagi bilangan 300 orang di seluruh negara. Penambahan jumlah ejen adalah penting buat syarikat kerana kami mahu pengguna mendapat maklumat yang tepat mengenai SSB dan membeli yang berkualiti dan asli,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan syarikat pada 2019, Norain berkata, syarikat mengunjurkan jualan SSB akan meningkat sebanyak 20,000 sebulan berbanding 15,000 pada tahun lalu.

Norain optimis sasaran itu dicapai berikutan adanya beberapa mesin baharu untuk meningkatkan kuantiti pengeluaran dan strategi syarikat yang akan memberikan latihan pemasaran yang konsisten kepada ejen dan stokis sedia ada dan yang baharu.

SSB mula berada di pasaran secara meluas pada bulan Ogos 2016.