Pengurus Besar Kanan Sunway City Ipoh, Wong Wan Wooi berkata, pembangunan tersebut kini memiliki 1,400 unit kediaman, Sunway College Ipoh serta hotel 174 bilik selain dua resort bertaraf dunia iaitu Banjaran Hotsprings Retreat dan The Lost World of Tambun.

“Kami telah menyiapkan kira-kira 70 peratus daripada pembangunan Sunway City Ipoh yang berkeluasan 545 hektar dengan pelaburan sejumlah RM700 juta setakat ini.

“Projek yang sedang dalam perancangan bagi melengkapkan fasiliti sedia ada ialah pembinaan Sunway Medical Centre Ipoh, penambahan kampus Sunway College, kediaman dengan fasiliti kolam air panas, pusat beli belah dan pembangunan lereng bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan media ke Sunway City Ipoh di sini semalam.

Dalam sesi lawatan tersebut, Wan Wooi turut memaklumkan tentang pembangunan terbaharunya, iaitu Sunway Onsen Suite,.

Projek tersebut terdiri daripada pembangunan tiga menara kediaman dengan nilai pemba­ngunan kasar melebihi RM400 juta.

Menara pertama dalam komponen pembangunan tersebut memiliki 252 unit kediaman da­ripada jenis studio, dua bilik tidur dan tiga bilik tidur dengan keluasan antara 592 kaki persegi (55 meter persegi) hingga 1,184 kaki persegi (110 meter persegi).

Harga jualan bermula dari RM391,000.

Menurut Wan Wooi, syarikat juga akan terus menambah tarikan pelancongan di Sunway City Ipoh.

Antaranya ialah pembangunan komponen baharu di taman tema air The Lost World of Tambun dengan melibatkan gelongsor air dan kolam renang bertingkat.

“Tarikan baharu ini dijangka siap menjelang Mei ini,” katanya.