Ketika ini, segmen perniagaan bahan api menyumbang sebanyak 90 peratus kepada pendapatan keseluruhan cabang pemasaran domestik Petronas, manakala bukan bahan api seperti peruncitan 10 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, antara usaha yang dilihat untuk mencapai sasaran berkenaan adalah me­ngubah semula pengalaman pelanggan dengan mengubah penampilan dan penawaran di stesen-stesen Petronas agar lebih relevan, segar dan memenuhi keperluan serta gaya hidup masa kini.

“Langkah ini penting dalam memastikan aliran hasil yang berterusan, sekali gus memberikan pula­ngan kepada pihak berkepentingan, bukan sahaja Petronas tetapi juga pengguna.

“Selain itu, kami juga ingin menarik lebih ramai pelanggan, khususnya dalam kalangan golongan muda dan belia, serta mendapatkan maklum balas daripada mereka agar dapat mempertingkatkan lagi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada maj­lis pengumuman usaha sama antara Petronas Dagangan dengan Common Ground di Stesen Petronas Kolam Air Lama di sini semalam.

Syed Zainal Abidin menjelaskan, perubahan tu penting bagi kesinambungan perniagaan masa depan Petronas Dagangan dan memenuhi ke­perluan untuk membuat persiapan awal dalam menghadapi cabaran mendatang.

“Permintaan pasaran terhadap bahan bakar akan berkurangan secara perlahan-lahan, bukan disebabkan pengguna tidak mahu membeli minyak lagi tetapi ekoran perubahan pada teknologi dan kereta,”jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan Common Ground itu merupakan antara langkah awal dan memberi peluang kepada Petronas Dagangan untuk mentransformasikan stesen minyaknya kepada hab inovasi yang dikenali sebagai The [email protected]