Pengarahnya, Mohd. Syukri Ibhrim berkata, kilang yang dibangunkan dalam kawasan seluas 1.2 hektar itu bakal berope­rasi pertengahan tahun depan.

Menurutnya, kapasiti penge­luaran produk pencuci juga bakal bertambah kepada 500,000 hingga 600,000 unit sebulan pada tahun 2019 berban­ding kapasiti sebanyak 150,000 unit sebulan yang dihasilkan di kilang sedia adanya di Puncak Alam, Selangor.

“Pelaburan ini dibiayai daripada dana dalaman dan kami yakin melalui kilang baharu ini akan meningkat lagi jenama Top5 dalam pasaran tempatan malah mampu menambah penguasaan pasaran pada masa depan,” ­katanya.

Beliau berkata demikian selepas program stokis Top5 bersama Agrobank di pejabat SR Asia di Puncak Alam, Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi dan Penasihat SR Asia, Datuk Seri Mos­tafa Rahmat.

Top5 mula berada di pasaran sejak empat tahun lalu dan produk itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggannya kerana ia merupakan produk tiga dalam satu yang berfungsi sebagai pencuci, pelembut dan pewangi.

Selain produk pakaian, Top5 terkenal dengan rangkaian produk untuk penjagaan kereta, pembersihan, gel tangan, pembersihan perkilangan yang terdiri daripada lebih 30 jenis bauan dengan menampilkan wangian yang berpanjangan dan anti bakteria.

Mohd. Syukri menjelaskan, melalui pelan pengembangan syarikat dengan pemindahan operasi ke kilang baharu di Klang mulai pertengahan tahun depan, syarikat memerlukan sokongan yang baik daripada rangkaian pemasarannya.

Menurut beliau, SR Asia berharap dapat menambah jumlah stokis kepada 50 orang pada tahun depan manakala bilangan pengedar meningkat kepada 2,000 orang berbanding 200 orang pada masa ini.

Antara usaha yang dilaksanakan untuk merealisasikan cada­ngan tersebut, syarikat telah bekerjasama dengan Agrobank untuk memberi peluang kepada orang ramai menjadi usahawan.

“Orang ramai boleh merebut peluang itu dengan mendapatkan pinjaman bermula serendah RM1,000 hingga RM50,000 untuk menjadi stokis Top5.

“Kami ingin menggalakkan orang ramai terutama suri rumah dan ibu tunggal untuk menjadi usahawan Top5 sebagai stokis kerana pinjaman disediakan oleh Agrobank,” ujarnya.