Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hamzie Hambali berkata, pihaknya mendapat maklum balas yang memberangsangkan daripada pelanggan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan, meskipun baru mula beroperasi awal bulan ini.

“Setakat ini, kami hanya memberi tumpuan di Lembah Klang selain penghantaran penumpang yang ingin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 menerusi tempahan awal.

“Meskipun masih baharu, kami mendapati jumlah permintaan untuk perkhidmatan Spedy pesat meningkat, malah sehingga kini, jumlah pelanggan telah mencecah sekitar 5,000 orang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Hamzie, selain mengutamakan keselesaan dan keselamatan pelanggan, syarikat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan khas, Spedy Lady yang membolehkan pelanggan wanita meminta khidmat pemandu wanita ke destinasi yang dipilih.

“Pada masa yang sama, ciri-ciri tambahan ini turut ditawarkan kepada pemandu wanita, memberi mereka ruang untuk hanya menerima penumpang wanita.

“Elemen ini seterusnya akan mewujudkan keselesaan kepada semua pihak terlibat,” katanya.

Beliau menambah, ciri-ciri tersebut juga diyakini mampu memacu perniagaan Spedygo pada masa hadapan.

Setakat ini, Spedy mempu­nyai 300 pemandu berdaftar dan sekitar 80 pemandu aktif yang terdiri daripada pemandu kenderaan persendirian dan pengusaha teksi.

Nor Hamzie, berkata, syarikat merancang untuk terus memperluaskan capaian perkhidmatan ke luar Lembah Klang de­ngan Johor, Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak sebagai destinasi seterusnya dalam tempoh setahun akan datang.

“Kami mendapat permintaan yang tinggi untuk menyediakan perkhidmatan Spedy ke negeri-negeri berkenaan, namun syarikat berhasrat untuk memperkukuhkan jenama di sini terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, Spedy menerima tempahan untuk penghantaran antara bandar dengan harga yang kompetitif bagi pilihan kategori ekonomi, kende­raan pelbagai guna dan premium,” jelasnya.

Untuk mendapatkan perkhidmatan Spedy, pengguna peranti pintar Android boleh membuat tempahan menerusi aplikasi Spedy.

Tempahan juga boleh dibuat melalui laman web www.spedybooking.com.